|   
Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange to thin layoutChange to default layoutChange to wide layoutChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
    T
    T
    T
    T
    T
    T
  jata  Malaysia's Free Trade Agreements

Respon terhadap isu TPPA: Penjajahan Alaf Baru, Model Pembangunan Malaysia, Dominasi Amerika Syarikat dan Hubungan dengan China

TPPA: PENJAJAHAN ALAF BARU, MODEL PEMBANGUNAN MALAYSIA, DOMINASI AMERIKA SYARIKAT DAN HUBUNGAN DENGAN CINA.

  1. Saya menghargai pandangan-pandangan yang diberikan melalui beberapa saluran mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Antara perkara-perkara yang dibangkitkan ialah penjajahan alaf baru, kesan kepada model pembangunan Malaysia, dominasi Amerika Syarikat dan kesan terhadap hubungan ekonomi antara Malaysia dan China.

  2. Saya mengambil maklum kebimbangan yang ditimbulkan. Justeru, izinkan saya untuk memberi penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan.

 

TPPA merupakan penjajahan alaf baru

  1. Kita pernah dijajah beberapa ratus tahun suatu ketika dahulu, namun situasi kini sudah berubah. Kalau dahulu kita tidak ada ilmu dan miskin sumber, kini beberapa syarikat dan golongan profesional Malaysia semakin terpelajar dan sebahagiannya sudah mampu bersaing serta menembusi pasaran antarabangsa. Syarikat-syarikat tempatan seperti Petronas, Axiata, UEM Group, Sapura Kencana, Sime Darby dan beberapa syarikat lagi telah melabur serta beroperasi di beberapa buah negara seluruh dunia, termasuklah di negara ahli TPP. Sebenarnya, sehingga Jun 2015, pelaburan Malaysia di luar negara berjumlah kira-kira RM522 bilion melebihi pelaburan asing di negara kita yang berjumlah RM477 bilion.

  2. Ini satu realiti yang harus kita sedari, iaitu pasaran Malaysia terhad dan syarikat serta profesional Malaysia sudah lama menerokai peluang-peluang di luar negara. Ramai profesional dan rakyat Malaysia sedang bekerja dalam pelbagai sektor di luar negara termasuklah negara TPP seperti Australia, New Zealand, Singapura dan Brunei. Kehadiran syarikat dan profesional Malaysia di luar negara bukan bermakna kita menjajah negara-negara tersebut. Oleh itu, kehadiran syarikat dari negara-negara TPP di Malaysia tidak semestinya bermakna kita akan dijajah semula. Sebenarnya syarikat-syarikat ini sudah pun berada di negara kita kerana Malaysia sememangnya menggalakkan pelaburan asing.

 

Model pembangunan ekonomi Malaysia

  1. Penyertaan dalam TPPA tidak bermakna kita akan menerima sistem ekonomi kapitalis secara total. Sebaliknya, Malaysia akan terus menjayakan model pembangunannya sendiri yang memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif. Dasar kita ialah untuk mengagihkan kekayaan negara seadil mungkin kepada golongan berpendapatan rendah dan kawasan-kawasan kurang maju. Penyertaan dalam TPPA juga tidak bermakna bahawa insititusi-institusi bumiputera seperti MARA dan TERAJU akan terpinggir.

 

Dominasi Amerika Syarikat

  1. Malaysia membuat keputusan untuk menyertai rundingan TPPA setelah mengambil kira manfaat khususnya dari aspek ekonomi yang ditawarkan oleh TPPA – saiz pasaran yang lebih luas melibatkan 800 juta penduduk dengan jumlah KDNK keseluruhan bernilai USD28 trilion. Produk Malaysia juga akan mendapat akses pasaran yang lebih baik di empat negara yang mana kita belum menandatangi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

  2. Kita telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan lebih 200 buah negara di seluruh dunia, dan Amerika Syarikat merupakan rakan perdagangan keempat terbesar buat Malaysia. Meskipun keutamaan negara pada ketika ini adalah ASEAN, namun Malaysia harus berusaha mempelbagaikan lagi hubungan perdagangan dengan negara-negara lain kerana pergantungan kepada satu atau dua negara sahaja akan membawa risiko yang tinggi.

  3. Pada pendapat Kerajaan, secara keseluruhannya TPPA akan mewujudkan situasi ‘win-win’ buat setiap negara yang terlibat. Bagi Malaysia, kita berpeluang untuk memasarkan produk seperti tekstil, elektronik, produk sawit dan beberapa barangan lain pada harga yang lebih kompetitif ke pasaran TPP termasuklah Amerika Syarikat, yang merupakan pasaran pengguna terbesar di dunia.

 

Hubungan ekonomi antara Malaysia dan China

  1. Penyertaan Malaysia dalam TPPA tidak akan sama sekali menjejaskan hubungan ekonomi antara Malaysia dan China. Dasar Malaysia adalah untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan semua negara.

  2. Sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia telah mendapat manfaat daripada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di antara ASEAN dan China yang kini sudah berjalan selama hampir 10 tahun. Kira-kira 90% dari produk-produk yang diperdagangkan antara ASEAN dan China sudah dihapuskan duti. FTA di antara ASEAN dan China ini juga sedang dalam proses untuk dinaiktaraf. Selain itu, Malaysia bersama negara-negara ASEAN lain juga sedang merundingkan Perjanjian Komprehensif Ekonomi Serantau atau Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang melibatkan 16 negara termasuk China. Di samping itu, Malaysia merupakan penyokong kuat inisiatif ekonomi ‘One Belt, One Road’ yang diterajui oleh China.

 

Kesimpulan

  1. Keahlian TPPA adalah terbuka kepada 9 buah negara APEC lain yang belum menyertai perjanjian ini. Malah negara-negara seperti Korea Selatan dan Indonesia telah menunjukkan minat untuk menyertai TPPA setelah mengambil kira faedah yang mungkin diperolehi.

  2. Yang membimbangkan Kerajaan adalah sekiranya Malaysia tidak menyertai TPPA, kita mungkin ketinggalan berbanding negara serantau seperti Vietnam dan Singapura dari aspek pencapaian ekonomi. Penyertaan dalam TPPA diharap dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan dan perdagangan yang lebih menarik. Selain itu, syarikat-syarikat Malaysia akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk menerokai pasaran TPP.

  3. Pihak MITI menyedari bahawa penyertaan dalam TPP akan ada “winners and losers”. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka Kerajaan berpendapat bahawa faedah penyertaan dalam TPP lebih banyak daripada keburukan.

  4. MITI amat menghargai semua pandangan yang telah diberikan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Bilik gerakan kami akan terus berusaha untuk memberi penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan dari semasa ke semasa.

 

Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
13 November 2015



Last Updated 2015-11-13 13:02:15 by Azuna Hasbullah atau Abd Rahman

  •  
  • Print
  • Email this page

DISCLAIMER: The Government and MITI accept no liability for any claim, loss, damage or expense arising from the use of information on this site. Please liaise with the relevant authority / importing customs authority for better accuracy.